Siklon lawan Taufan

Saturday, April 23, 2011 by Indra
Pada suatu hari, saya masuk ke dapur untuk makan buah mangga yang dibeli di pasar malam yang terletak di Pekan Merlimau. Saya telah menggunakan akhbar lama untuk dijadikan alas sementara bagi kulit buah tersebut.
Tatkala saya asyik (asyik seh!) mengupas buah mangga (lantas memakannya sambil berdiri), saya terpandang tajuk akhbar tersebut yang berbunyi (kalau dibaca dengan nada yang kuat) "Mangsa Nargis Diancam Kebuluran". "Apa pula Nargis ni?" tanya saya di dalam hati (bimbang pula kalau diajukan soalan itu dengan kuat, saya akan dituduh gila kerana bercakap seorang diri). "Najis ke? Nangis ke? Tapi bukan Najib ni..." soalan demi soalan menerjah ke ruang angkasa Gaban... maaf, ruang fikiran. Turut disertakan bersama artikel tersebut, satu ringkasan bergambar tentang serangan Nargis di Myanmar ini yang bertajuk "Siklon Nargis Melanda Myanmar".
"Apa pula siklon ni???" satu lagi soalan muncul. "Ah, barangkali siklon ini adalah sejenis wabak penyakit, Wabak Nargis" jawapan bernas dan ikhlas dari saya. Saya teruskan bacaan (sambil makan buah mangga..mmm sedapnya!) sehingga saya menemukan baris-baris ayat seperti di bawah;
"... mangsa siklon Nargis yang melanda tengah malam Jumaat lalu di mana ia merupakan bencana alam terburuk dalam sejarah"
dan;
"Bencana siklon itu juga mempunyai kekuatan angin selaju 190 kilometer sejam sekali gus mengakibatkan wilayah itu ditenggelami air sedalam enam meter."
Cis! Rupa-rupanya siklon adalah taufan atau dalam bahasa Inggeris berbunyi "cyclone". Soalan saya kepada pembaca budiman sekalian (maklumlah, saya punya ramai pembaca), perlukah perkataan atau terma yang telah sedia ada dalam bahasa Melayu kita ini ditambah atau dipelbagaikan lagi dengan perkataan-perkataan atau terma-terma dari bahasa lain yang "di-Melayu-kan?"
p/s: gua pun tak pandai dalam penulisan bahasa Melayu, maupun bahasa Inggeris.

Posted in | 0 Comments »

0 orang dah komen: